Friday, July 25, 2008

" Tanda Mati Hati "



Hati Kata Sheikh r.a Sheikh Ibni Athoillah As-Kanddari dalam Kitab Hikamnya :
"Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan juga tidak menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa.
"Terjemahan Kalam Hikmah :
Setengah daripada alamat "mati mata hati" itu ketiadaan dukacita atas luput akan dikau daripada segala kebaktian dan meninggalkan menyesal atas barang yang telah engkau perbuat akan dia daripada wujud segala kesalahan.
Keterangan Suluk
Kalam Hikmah di atas cuba mendedahkan setengah atau sebahagian daripada tanda-tanda yang menunjukkan buta mata hati atau alamat seseorang itu memiliki mata hati yang mati. Antaranya ialah perihal seorang hamba yang tidak sedikit pun merasa dukacita atau bersedih apabila tertinggal sesuatu hak kewajiban yang perlu dilaksanakannya. Contohnya seperti seorang yang tidak merasa apa-apa perasaan rugi atau bersalah setelah tertinggal mengerjakan sholat kerana terlalu sibuk dengan urusan kerja seperti mesyuarat atau sebagainya. Malah dibiarkan luput begitu sahaja dengan tidak ada usaha untuk segera mengqadakannya.
Lebih jauh daripada itu setengah daripada alamat keadaan hati yang mati dapat dilihat/ditilik pada tingkah laku seorang hamba yang sedikitpun tidak merasa menyesal bila terjatuh dalam dosa atau maksiat pada Allah malah ada setengah daripada mereka merasa seronok dan berbangga dengan dosa dan maksiat yang dikerjakan itu. Lebih parah lagi ada yang suka pula menonjol-nonjolkan dan memperagakan maksiat dan penderhakaan mereka itu untuk ditontoni atau diketahui oleh orang lain. Banyaklah contoh-contoh manusia sebegini dalam masyarakat kita hari ini; yakni masyarakat yang mengejar dunia yang "glamour" ; masyarakat yang berfahaman rasionalis dan materialis malah ada yang sampai menganut fahaman "matlamat menghalalkan cara" yang dipelopori oleh iblis laknatullah.
Demikianlah pengertian pertama yang boleh diambil kefahaman daripada Kalam Hikmah di atas khususnya ditujukan atau dimaksudkan kepada golongan manusia awam yang lalai, jahil lagi secara terang-terangan meninggalkan sesautu kebaikan dan berebut-rebut dan berlumba-lumba pula mencipta, mencetus, dan melakukan dosa maksiat dan penderhakaan terhadap kemurniaan agama dengan mencabul dan memperkosa kemuliaan syariat Islam.
Pengertian yang kedua pula adalah ditujukan kepada golongan Salik yang sedang berjalan menuju Allah. Mata Hati yang hidup serta celik sangat diperlukan oleh mereka dalam meniti perjalanan mereka yang penuh dengan liku-liku, duri dan ranjau. Amalan-amalan Sunat atau Wirid-wirid yang khusus adalah merupakan kebaktian seperti yang terdapat dalam maksud Kalam Hikmah di atas. Jika terluput sesuatu amalan harian atau wirid-wirid yang selalu dikerjakan selama bertahun-tahun lamanya dengan kerana sesuatu perkara lain yang mendatangi dan segera mendatangkan rasa dukacita atau sedih; di samping bersegera untuk terus mengqadanya atau kembali bertawajjuh kepada Allah, maka itu alamat mata hati yang hidup dan celik. Sebab itulah wirid-wirid yang dikerjakan jika tertinggal kerana sesautu musyakkoh, ianya sunat diqadakan. Antara contohnya seperti Sholat Sunat Witir dsb.
Sebaliknya jika seorang Salik yang tidak merasa dukacita kerana terluput wirid hariannya atau segera menyesal bila berlaku pelanggaran dosa-dosa batin, maka ini menunjukkan hati yang sebelum ini hidup sedang sakit dan ada tanda-tanda untuk buta atau terus mati. Tidak sedih kerana tidak berupaya/berkesempatan melakukan amalan sunat; itu tanda hati mati. Tidak menyesal dan segera bertaubat bila timbul rasa ujub dan riya dalam amalan, itu tanda hati mati. Inilah sebahagian daripada makna-makna yang terhimpun dari kalam hikmah di atas. Guru suluk dalam usaha untuk menjelaskan perihal hidup dan matinya hati telah memetik kata-kata yang tersebut dalam Kitab Syarah Hikam sebagaimana berikut;

Mati itu adalah kerana tiga perkara iaitu:•
1. Hubbul Dunia (Kasihkan Dunia) •
2. Lalai daripada ZikiruLlah (meningati Allah) •
3. Membanyakkan makan dan menjatuhkan anggota badan kepada maksiat kepada Allah.\

Hidup hati itu kerana tiga perkara iaitu;•
1. Zuhud dengan dunia •
2. ZikruLlah •
3. Bergaul atau berkawan dengan Aulia Allah.

No comments: