Monday, August 17, 2009

Perginya seorang pejuang nasyid


SETIAP pagi, seperti biasa sebelum melangkah keluar dari rumah untuk ke pejabat, Mohamad Asri Ibrahim dibekalkan erat pelukan isteri yang mengiringinya hingga ke pintu sambil mengucup tangan sebagai doa agar perjalanan suami selamat pergi dan kembali.

Namun pagi 13 Ogos lalu, entah kenapa Mohd. Asri atau lebih mesra disapa Ustaz Asri, ayah kepada enam orang anak itu begitu tergesa-gesa untuk pergi, hingga tidak berpeluang isteri tercinta Haliza Shahadan, 39, memeluk erat suami seperti biasa.

Walaupun tindakan Ustaz Asri berlainan daripada biasa, namun Haliza atau lebih mesra dipanggil Noor Jannah tidak menyangka apa. Cuma yang terfikir, suami tersayang tergesa-gesa kerana ada tugas sudah menanti pada 10.30 pagi itu.

Pagi itu, Ustaz Asri dan Rabbani dijadualkan menyanyikan lagu tema Syahadah musim kelima sebuah rancangan terbitan RTM yang akan disiarkan sepanjang bulan Ramadan, di Auditorium P.Ramlee, Angkasapuri.

Namun suratan takdir telah menentukan. Kelainan sikap Ustaz Asri pagi itu rupa-rupanya petanda beliau akan pergi buat selama-lamanya meninggalkan isteri, anak-anak dan dunia yang fana ini.

Tidak siapa menduga, ketika Noor Jannah sibuk di rumah mengurus anak-anak, ahli anggota Rabbani berusaha membantu memulihkan Ustaz Asri yang rebah tiba-tiba ketika mahu memulakan latihan menyanyikan lagu tema tersebut.

Dan... dalam suasana tenang dan sepi, ketika syahadah dibisikkan di telinganya, Ustaz Asri yang rebah dan pucat wajahnya, longlai di pangkuan sahabat-sahabatnya.

Meski hati mereka digayut rasa sedih, namun tidak mahu mengaku kalah. Dengan semangat setia kawan dan dipanjatkan beribu doa, dengan menaiki van milik mereka, Ustaz Asri dibawa ke Pusat Perubatan Pantai.

Namun takdir menentukan segala-galanya. Allah lebih menyayanginya dan tepat pada pukul 11.45 pagi, doktor mengesahkan Ustaz Asri yang dikenali sebagai pejuang lagu-lagu nasyid meninggal dunia kerana sakit jantung.

Dilahirkan pada 3 Ogos 1969, pemergian Allahyarham amat mengejutkan ramai pihak terutama kepada mereka yang meminati koleksi lagu-lagu dakwah nyanyiannya bersama kumpulan Rabbani.

Selama 12 tahun memperjuangkan irama nasyid, kini, segalanya hanya tinggal kenangan dan akan terus terpahat di sanubari setiap daripada kita semua.

Dan, sememangnya, kita semua perlu menerima takdir dan hakikat bahawa Ustaz Asri kini sudah tiada lagi untuk mengingatkan semua dengan lagu-lagu berbentuk dakwah dan nasihat.

Semuanya sudah termaktub sebagai mana janji Allah SWT dalam al-Quran bahawa setiap yang hidup pasti akan merasai mati.

Rebah ketika menjalani sesi latihan sempena pelancaran program Syahadah, rintihan dan tangis sendu mengiringi saat jenazah Allahyarham dimandi, dikapan dan disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

Selain seorang balu, Haliza Shahadan@Noor Jannah, Allahyarham meninggalkan enam anak iaitu Mohd. Nasimudin, 15; Mohd. Fathi, 14; Nur Afikah, 12; Mohd. Ilham, 10; Sufiyah Munawarh, 6 dan Hamdi Rabbani, 4.

Dua hari sebelum itu, penulis berkesempatan menemui Allahyarham ketika majlis menandatangani perjanjian persembahan Rabbani di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya sempena Ramadan tahun ini.

Ia merupakan kerjasama ke-18 tahun berturut-turut Rabbani bersama hotel itu.

Allahyarham yang sentiasa ceria pada majlis itu berkata : "Kadang-kadang terdetik di hati saya, jika Singgahsana tidak mengundang kami pada tahun ini, tidak mengapalah.

"Tetapi, jika tidak ada tawaran daripada Singgahsana, ibadah kami sempena Ramadan tahun ini bagaikan tidak lengkap kerana ini merupakan salah satu cabang ibadah Rabbani."

Dalam pertemuan itu, penulis sempat mengajukan soalan dan bertanyakan pendapat Allahyarham mengenai Rabbani yang boleh dilabel sebagai kumpulan nasyid nombor satu negara berdasarkan undangan menyanyi di pentas yang tidak pernah lekang.

Allahyarham dengan rendah diri berkata : "Alhamdulillah, Rabbani masih aktif. Bukan hanya konsert, Rabbani sering kali bersama dengan masyarakat. Komitmen setiap ahli kumpulan juga menjadi penentu kepada kejayaan Rabbani.

"Menjaga hati rakan-rakan juga penting. Contohnya, jika saya seorang dipanggil dalam sesebuah majlis, saya akan katakan tidak boleh kerana semua ahli Rabbani perlu diundang sama. Kita perlu utamakan rakan-rakan."

Begitulah setia dan kasihnya Allahyarham terhadap ahli anggota Rabbani yang dianggap bagaikan saudara sendiri.

Bercakap mengenai Allahyarham, dengan berita pemergiannya itu, bait-bait lagu dakwah dan zikir munajat yang sering bermain di bibirnya tatkala aktif bersama Rabbani dan juga Nada Murni mungkin sukar untuk dilupakan.

Perginya Allahyarham merupakan satu kehilangan yang besar kepada lapangan nasyid tanah air.

Dalam waktu ini juga, pastinya kita akan mengingati lagu berjudul Pergi Tak Kembali, ciptaan KRU dengan lirik oleh Allahyarham yang pernah dipopularkan Rabbani sekitar 2000.

Lagu itu cukup menginsafkan dan mengingatkan kita semua betapa kematian itu adalah sesuatu yang benar dan pasti berlaku.

Hayatilah lirik karya lagu tersebut :

Setiap insan pasti merasa,

Saat perpisahan terakhir,

Dunia yang fana akan ditinggalkan,

Hanya amalan yang dibawa.

Terdengar sayup surah dibaca,

Sayunya alunan suara,

Cemas di dada...lemah tak bermaya,

Terbuka hijab di depan mata.

Selamat tinggal pada semua,

Berpisah kita selamanya,

Kita tak sama nasib di sana,

Baikkah atau sebaliknya.

Amalan dan takwa jadi bekalan,

Sejahtera bahagia pulang...ke sana.

Sekujur badan berselimut putih,

Rebah bersemadi sendiri,

Mengharap kasih anak dan isteri,

Apa mungkin pahala dikirim.

Terbaring sempit seluas pusara,

Soal-bicara terus bermula,

Sesal dan insaf tak berguna lagi,

Hancurlah jasad dimamah bumi.

Berpisah sudah segalanya,

Yang tinggal hanyalah kenangan,

Diiring doa dan air mata,

Yang pergi takkan kembali lagi.


Sumber dari :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0817&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm

Sunday, August 9, 2009

KISAH PEMUDA BERIBU-BAPAKAN BABI

Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah S.W.T Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah.Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.

Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?".

Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan.


Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu.

Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?, kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh keheranan.


Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.

Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa agama kamu?". "Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa.


"Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodohrupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menajdi babi, aku tetap melaksanakan tugasku.", sambungnya.


"Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu lagi.

Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. 'Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepasa kedua ibubapanya. Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami."


Allah juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga."

Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibubapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibubapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.


Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibubapa kita itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa.

Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T supaya kedua ibubapa kita diampuni Allah S.W.T.

Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibubapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibubapa di alam kubur.


Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran wang ringgit, tetapi sayang seorang anak pada kedua ibubapanya ialah dengan doanya supaya kedua ibubapanya mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah.

Untuk mengetahui lebih mendalam kisah alam akhirat sila dapatkan buku terbitan syarikat Nurulhas yang berjudul: BILA IZRAIL A.S. DATANG MEMANGGIL

ANJING-ANJING NERAKA

Sabda Rasulullah S.A.W kepada Mu'adz, "Wahai Mu'adz, apabila di dalam amal perbuatanmu itu ada kekurangan :

· Jagalah lisanmu supaya tidak terjatuh di dalam ghibah terhadap saudaramu/muslimin.

· Bacalah Al-Qur'an

· tanggunglah dosamu sendiri untukmu dan jangan engkau tanggungkan dosamu kepada orang lain.

· Jangan engkau mensucikan dirimu dengan mencela orang lain.

· Jangan engkau tinggikan dirimu sendiri di atas mereka.

· Jangan engkau masukkan amal perbuatan dunia ke dalam amal perbuatan akhirat.

· Jangan engkau menyombongkan diri pada kedudukanmu supaya orang takut kepada perangaimu yang tidak baik.

· Jangan engkau membisikkan sesuatu sedang dekatmu ada orang lain.

· Jangan engkau merasa tinggi dan mulia daripada orang lain.

· Jangan engkau sakitkan hati orang dengan ucapan-ucapanmu.

Nescaya di akhirat nanti, kamu akan dirobek-robek oleh anjing neraka. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud, "Demi (bintang-bintang) yang berpindah dari satu buruj kepada buruj yang lain."

Sabda Rasulullah S.A.W., "Dia adalah anjing-anjing di dalam neraka yang akan merobek-robek daging orang (menyakiti hati) dengan lisannya, dan anjing itupun merobek serta menggigit tulangnya."

Kata Mu'adz, " Ya Rasulullah, siapakah yang dapat bertahan terhadap keadaan seperti itu, dan siapa yang dapat terselamat daripadanya?"

Sabda Rasulullah S.A.W., "Sesungguhnya hal itu mudah lagi ringan bagi orang yang telah dimudahkan serta diringankan oleh Allah S.W.T."